Home Tempatan 17 kumpulan ajaran sesat muncul tahun lepas

17 kumpulan ajaran sesat muncul tahun lepas

SHARE

PUTRAJAYA: Sebanyak 17 kumpulan ajaran sesat dan menyeleweng dikenal pasti telah muncul di negara ini pada tahun lepas, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, di negeri Selangor pula, laporan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menunjukkan sebanyak 19 daripada keseluruhan 39 kumpulan yang direkodkan masih lagi bergiat aktif.

Bagaimanapun, katanya, hasil usaha komited dan konsisten daripada Jais dan agensi yang berkaitan, sebanyak 246 tangkapan berhubung ajaran sesat telah dijalankan tahun lepas, meningkat berbanding hanya 31 tangkapan pada 2016.

“Inilah gambaran kesungguhan kerajaan dengan kerjasama agensi yang berkaitan bagi memastikan usaha memartabatkan institusi Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam amalan Islam di Malaysia.

“Kita serius menangani ancaman ajaran sesat,” katanya semasa berucap pada Multaqa Dakwah dan Pemikiran Islam, Majlis Perundingan Islam (MPI) di sini, hari ini.

Turut hadir pada multaqa itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Dr Shahidan Kassim; Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Timbalan Menteri di JPM, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Tan Sri Othman Mustapha.

Pada multaqa itu, Datuk Seri Ahmad Zahid yang juga Pengerusi MPI, turut mengumumkan pelantikan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Ketua Kluster Ekonomi MPI yang baharu, menggantikan Tan Sri Muhammad Ali Hashim yang meninggal dunia pada Oktober tahun lepas.

Sementara itu, Datuk Seri Ahmad Zahid menyarankan agar peranan ulama dan umarak (pemimpin) terus diperkasakan terutama dalam berhadapan ancaman terhadap pemikiran umat Islam yang hadir dalam pelbagai bentuk.

Katanya, antara serangan tersebut adalah dalam bentuk meragukan ajaran-ajaran Islam yang telah thabit (berlandaskan hadis sahih) melalui fahaman relativisme, pentafsiran semula nas-nas agama dan menggalakkan ijtihad-ijtihad (penyelidikan) baharu.

“Serangan terhadap pemikiran umat Islam juga datang melalui tindakan sesetengah pihak mengangkat sisi praktikal sosiologi melalui fahaman pluralisme, hubungan rentas agama serta aktiviti-aktiviti yang meraikan hak-hak golongan yang dikatakan didiskriminasi seperti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT),” katanya.

Pada multaqa kali keempat yang dihadiri 600 peserta itu, Datuk Seri Ahmad Zahid turut menerima resolusi daripada Kluster Dakwah dan Kluster Pemikiran Islam MPI.

Sila klik di sini untuk bacaan lanjut.

Comments