Home Pendapat 14 Februari: Jangan Lupa Leftenan Adnan

14 Februari: Jangan Lupa Leftenan Adnan

SHARE

“Apa, mereka ingat kita akan lari? Ngah, maklumkan kepada semua anggota, saya akan panggil bantuan mortar. Tunggu tembakan platun daripada saya.”

Pasti ada yang masih mengingati ungkapan ini dalam sedutan filem Leftenan Adnan. Kata-kata ini diucapkan Leftenan Adnan apabila kawasan pertahananan yang dikawal olehnya dibom oleh tentera Jepun. Dengan kepimpinan dan keberanian Leftenan Adnan, hampir dua kompeni tentera Jepun berjaya dibunuh dalam pertempuran tersebut. Nasib yang sama menimpa 20 orang askar Jepun yang menghampiri kawasan kubu Leftenan Adnan dengan berpura-pura menjadi tentera Sikh yang berkhidmat di bawah tentera British.

Walaupun beliau mengalami kecederaan parah selepas tentera Jepun membuat serangan secara besar-besaran, namun Leftenan Adnan tidak berundur malah menghadapi pihak lawan dengan semangat juang yang tinggi hinggalah beliau ditawan.

Marah dan bengang dengan keberanian dan sifat tidak mudah menyerah kalah Leftenan Adnan, pihak Jepun kemudiannya mengheret dan menggantung beliau di pokok ceri secara terbalik. Mereka berbaris dan lalu di bawah pokok ceri tersebut sambil menikam tubuh Leftenan Adnan dengan bayonet seakan melepaskan amarah dan dendam yang terkumpul. Tidak cukup dengan itu, mereka mengelar leher beliau sehinggalah perwira ini menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 14 Februari 1942. Ada yang mengatakan bahawa tubuh Leftenan Adnan dibakar selepas itu. Peristiwa menyayat hati ini disaksikan sendiri oleh Koperal Yaakob, rakan seperjuangan beliau yang terselamat dalam pertempuran tersebut dengan berpura-pura mati.[1]

Leftenan Adnan yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik ini dilahirkan di Sungai Ramal,Kajang, pada tahun 1915. Seperti idolanya Hang Tuah, Leftenan Adnan bercita-cita untuk menjadi seorang askar demi mempertahankan tanah air dari dijajah musuh.[2] Selepas menamatkan pelajaran di Sekolah Inggeris yang terletak di Pekan Sungai Ramal, beliau berjaya memegang jawatan sebagai seorang guru di sekolah lamanya. Namun, cita-citanya untuk menjadi seorang askar tidak pernah terkubur layu.

Impian menjadi kenyataan apabila beliau terpilih untuk menjadi askar pada tahun 1933 sewaktu berusia 18 tahun. Hasil dedikasi dan disiplin yang tinggi, Leftenan Adnan dilantik menjadi Leftenan Muda merangkap ketua Platun ke-7, Kompeni C, empat tahun selepas itu.[3]

Berani, rajin, cintakan tanah air dan rela berkorban demi Negara tercinta. Sifat-sifat yang tertanam dalam diri Leftenan Adnan terlihat jelas semasa beliau menyerang dan mematahkan serangan tentera Jepun yang datang untuk menguasai Tanah Melayu pada tahun 1941-1942. Pada waktu itu, Leftenan Adnan telah diarahkan untuk mempertahankan Bukit Candu, Singapura daripada serangan Jepun kerana Bukit Candu merupakan jalan singkat untuk menguasai Singapura. Pasukan Rejimen Askar Melayu yang dipimpin oleh Leftenan Adnan kemudiannya mengadakan pertahanan di Rabung Pasir Panjang.[4]

Walaupun kekalahan Leftenan Adnan dan kompeninya berakhir dengan kematian yang tragis setelah bertempur bermati-matian selama 48 jam, namun, pengorbanan Leftenan Adnan akan sentiasa kekal mewangi dalam lipatan sejarah Negara. Semangat patriotisme yang tinggi, keberanian yang tiada tolok bandingnya dan kesanggupan berjuang hingga ke titisan darah yang terakhir demi mempertahankan tanah air tercinta daripada ancaman musuh amatlah terpuji. Semangat yang dipamerkan oleh beliau inilah mengajar kita agar tidak mudah tertipu dengan strategi musuh yang ingin melihat kejatuhan tanah air kita, Malaysia tercinta.

Anak muda zaman ini seharusnya menghargai jasa dan pengorbanan Leftenan Adnan dan Rejimen Askar Melayu. Kita wajib mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara daripada ancaman musuh dalam dan luar.

Rujukan

[1] Lim Choo Hoon. Journal of the Singapore Armed Force: The Battle of Pasir Panjang Revisited, V28N1. 2002.

[2] Abdul Latip Talib. Leftenan Adnan, wira bangsa. PTS Fortuna, 2008.

[3] Liza Sahid, Adnan Saidi: Infantry Officer, War Hero. The Singapore Social History Source, 1999.

[4] http://eresources.nlb.gov.sg/infopedia/articles/SIP_456_2005-01-18.html.

Comments