Home Tempatan 13 rang undang-undang diluluskan

13 rang undang-undang diluluskan

SHARE

KUALA LUMPUR: Sebanyak 13 Rang Undang-Undang diluluskan sepanjang 20 hari persidangan Dewan Rakyat penggal ini yang ditangguhkan hari ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Katanya, antaranya adalah Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017, RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) 2017 dan RUU Kebankrapan (Pindaan) 2016.

Beliau berkata, lebih menarik sidang kali ini mencatat sejarah tersendiri apabila bersidang hampir 20 jam, semalam.

“Kerajaan akan terus komited untuk memastikan proses demokrasi di negara ini sentiasa subur dan berkembang.

“Saya berharap semua Ahli Parlimen dapat memelihara Dewan yang mulia ini sebagai satu badan legislatif negara yang dihormati,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, Azalina berkata sebagai menteri bertanggungjawab terhadap hal-ehwal Parlimen, beliau berterima kasih kepada semua Ahli Parlimen yang berbahas dan menunjukkan kematangan untuk menyuarakan masalah rakyat secara lebih profesional.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat (Tan Sri Pandikar Amin Mulia) dan timbalannya (Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Datuk Ismail Mohamed Said).

“Begitu juga pegawai dan kakitangan Dewan Rakyat termasuk anggota keselamatan yang turut menyumbang tenaga dalam memastikan persidangan kali ini berjalan lancar,” katanya.

Berita Harian

Comments