Home Tempatan 10,000 semarakkan Doa Untukmu Rohingya

10,000 semarakkan Doa Untukmu Rohingya

SHARE
Noordin Abbas (tengah) bersama-sama Ismail Sabri Yaakob (dua dari kiri), Ahmad Shabery Cheek (dua dari kanan), Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani dan Pengerusi Finas, Datuk Khusairi Abdul Talib (kanan), mendeklamasikan puisi secara bersama dalam program amal Doa Untukmu Rohingya anjuran WHAM di Laman Santai, Istana Budaya, malam tadi. - UTUSAN ONLINE/Aizzul A.Majid

KUALA LUMPUR 1 Jan. – Kira-kira 10,000  penonton hadir menyaksikan program amal Doa Untukmu Rohingya anjuran Persatuan Wartawan Dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) yang diadakan di Laman Santai, Istana Budaya, di sini malam tadi.

Acara yang berlangsung selama 10 jam tanpa henti bermula pukul 2.00 petang hingga 12.00 tengah malam ini turut berjaya menghimpunkan 1,000 orang penggiat seni tanah air yang terdiri daripada selebriti, seniman, pelukis, pemuzik dan pemuisi.

Antara selebriti yang tampil mendeklamasi puisi serta menghiburkan penonton ialah Amy Search, Erra Fazira, Rozita Che Wan, Zarul Umbrella, Sahara Yaacob, Izreen Azminda, Johan As’ari, Azharina, Rabbani, Siti Sarah dan ramai lagi.

Acara ini turut dimeriahkan dengan kehadiran Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Noordin Abbas serta Sasterawan Negara, Prof Dr. Lee Swee Ting.

Menurut Presiden WHAM, Tengku Khalidah Tengku Bidin, hari pertama dalam kalendar tahun baharu ini dipilih untuk menyemarak dan menyuntik rasa prihatin terhadap nasib yang sedang menimpa saudara Islam yang dinafikan hak mereka di bumi Myanmar.

“Hasrat WHAM untuk menganjurkan program bertemakan kemanusiaan dan kerohanian sudah tercapai apabila berjaya melibatkan lebih 1,000 karyawan seni negara ini.

“Lebih 500 orang daripada mereka terbabit secara langsung dalam menghasilkan karya dan selebihnya datang sendiri ke Istana Budaya untuk menjayakan program ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Utusan Melayu

Comments