Home Antarabangsa 1.4 juta kanak-kanak berisiko kebuluran

1.4 juta kanak-kanak berisiko kebuluran

SHARE
Budak di negara konflik seperti Nigeria, Somalia dan Sudan Selatan berisiko diancam kebuluran.

GENEVA –  SWITZERLAND. Hampir 1.4 juta kanak-kanak di Nigeria, Somalia, Sudan Selatan dan Yaman berisiko kebuluran, menurut Tabung Kanak-kanak PBB (Unicef), semalam.

“Masa semakin suntuk untuk menyelamatkan kesemua budak di negara terbabit. Kita masih dapat menyelamatkan banyak nyawa. Masalah kekurangan zat makanan dan kebuluran adalah berpunca daripada manusia.

“Ia memerlukan tindakan kemanusiaan yang cepat. Kita tidak boleh membiarkan tragedi kebuluran di Afrika pada 2011 daripada berulang,” kata Pengarah Eksekutifnya, Anthony Lake.

Terdahulu, Program Makanan Sedunia (WFP) mendedahkan penduduk di negara terlibat sudah mengalami kebuluran hingga membawa maut dan lebih 20 juta lagi terdedah kepada risiko sama untuk tempoh enam bulan lagi.

Isnin lalu, krisis kebuluran telah diisytiharkan secara rasmi di beberapa bahagian di Sudan Selatan yang terperangkap dalam perang saudara sejak 2013.

Menurut Unicef, seramai 270,000 kanak-kanak di Juba mengalami masalah pemakanan tidak seimbang manakala lebih sejuta berisiko kebuluran.- Reuters

Sinar Online

Comments